Kehidupan Lebah dan Manusia

Kehidupan Lebah dan Manusia

Lebah dan Manusia Berpisah Tiada

Tahukah anda bahawa banyak perkara yang boleh kita pelajari melalui tingkah laku lebah. Berikut adalah sepuluh contoh pengajaran yang boleh kita aplikasi dalam kehidupan seharian

1) Bertanggungjawab
Lebah hidup mengikut keperluan mereka. Tiada bank, pinjaman atau kad kredit di dunia lebah; hanya sumber-sumber keperluan mereka sendiri dengan mengumpul dan menyimpannya. Seperti kita, lebah perlu makan setiap hari, dan mereka melakukan semuanya dengan kudrat mereka untuk memastikan tidak ketandusan bekalan makanan dengan cara menyimpannya – bukan untuk diri sendiri, tetapi sebaliknya untuk lebah yang belum dilahirkan

2) Bekerjasama
Lebah mampu mencapai sesuatu perkara yang luar biasa dengan cara bekerja bersama-sama. Lima puluh ribu pekerja boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa. Kerjasama adalah kunci kepada kejayaan mereka-seumpama puluhan ribu individu berkelakuan sebagai satu organisasi

3) Bekerja Secara Sistematik
Lebah membuktikan bahawa pembahagian tugas tersusun boleh menjadi sangat berkesan. Bagaimana? Lebah bergerak melalui kerja berperingkat. Pada mulanya mereka akan bekerja di dalam sarang sebelum akhirnya muncul sebagai pengumpul makanan. Jadi, mereka boleh kembali kepada tugasan asal (dalam sarang) jika berlaku sebarang masalah.

4) Bijak Memanfaatkan Peluang
Lebah bijak memanfaatkan ruang dan masa. Lebah menghasilkan madu selagi mentari bersinar. Mereka akan mengambil apa saja inisiatif untuk memperbanyakkan makanan. Contohnya, walaupun kantung sarang telah dipenuhi dengan makanan, mereka akan cuba mencari ruang di celahan sarang untuk disaratkan makanan lebihan

5) Tidak Pentingkan Diri
Lebah berkelakuan seperti individu namun kepentingan bersama adalah menjadi keutamaan mereka – sikap ego bukan ciri yang ada pada lebah. Tugas utama mereka adalah kepada koloni dan mereka tidak teragak-agak mengorbankan diri jika koloni terancam

6) Sentiasa Bersiap Sedia dan tidak putus asa
Lebah sangat peka dengan keadaan persekitaran terutama dalam musim ketandusan sumber makanan. Namun mereka sentiasa membuat persiapan awal dengan mengumpul makanan lebih banyak sebelum menghadapi musim berkenaan

7) Toleransi
Sikap berkongsi dan bertoleransi. Lebah tidak bersaing sesama sendiri. Jika ada perselisihan dalam pencarian sumber makanan, mereka akan saling memberi ruang. Contohnya, jika seekor lebah mendapati pokok bunga telah dihinggapi oleh pesaing (lebah dar koloni lain), maka ia akan beredar dan menumpukan pencarian di tempat lain. Bukan itu saja, malah ia akan memberi arahan kepada rakan-rakan supaya tidak menuju ke kawasan pokok bunga tersebut

8) Bijak Menyesuaikan Diri
Lebah bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka. Ia adalah salah satu strategi survival berkesan. Ini dapat dilihat apabila mereka menggunakan propolis dari sumber berbeza daripada kawasan setempat yang dapat melindungi mereka daripada patogen yang wujud di persekitaran itu sendiri

9) Komunikasi Berkesan
Lebah mementingkan komunikasi yang ringkas dan berkesan. Dengan hanya menggunakan getaran dan pheromones sahaja mereka mampu menyampaikan maklumat kepada seluruh anggota koloni. Hasilnya mereka dapat melaksanakan tugas dengan efisien.

10) Mementingkan kebersihan dan kualiti
Lebah sangat mementingkan kualiti dalam aspek pencarian sumber makanan. Mereka akan hanya memilih pokok bunga yang segar, bersih, berkhasiat dan tidak dicemari oleh bahan asing seperti sisa toksik dan sebagainya. Benar seperti sabda Rasulullah saw., “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merusak atau mematahkan (yang dihinggapinya).” (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar)

Posted in: Articles

Leave a Comment (0) ↓

Leave a Comment

You must be logged in to post a comment.